GUA MUSANG – Dua beranak maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di Kilometer 73, Jalan Gua Musang-Lojing di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.09 tengah malam itu, Normardiah Taha, 45, yang merupakan seorang suri rumah dan ibunya, Fatimah Sa’aid, 67, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, dua beranak itu sedang perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Kuala Terengganu dengan menaiki sebuah SUV jenis Honda CR-V.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan semasa mengambil selekoh sebelum terbabas ke dalam parit sebelah kiri jalan.
“SUV itu kemudiannya merempuh sebatang tiang elektrik sebelum kenderaan tersebut berpusing beberapa kali.
“Keadaan itu menyebabkan Fatimah tercampak keluar dari SUV yang dipandu anaknya. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Choon Foo memberitahu, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE