SUBANG JAYA – Seorang wanita maut selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaikinya hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 17.4 Lebuh Raya Persekutuan di sini, awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menimpa mangsa yang berusia 28 tahun pukul 3.38 pagi tadi.
“Dilaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang hilang kawalan dan terbabas melanggar bahu jalan.
“Seorang penumpang wanita tersepit dan tidak sedarkan diri. Pihak bomba berjaya membawa keluar mangsa dan pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE