SHAH ALAM – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pembatalan di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti kemenangannya tipis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini melibatkan kerusi Taman Medan, Sungai Kandis, Dengkil dan Gombak Setia dengan tiga daripadanya kalah dengan majoriti tipis dibawah 200.
Katanya, malah terdapat perkara-perkara yang dibangkitkan dalam soal pengiraan kertas undi termasuk dipercayai hilang seperti di DUN Sungai Kandis.
“Saya dimaklumkan ada beberapa hal yang boleh dipertimbangkan untuk petisyen atau diambil tindakan susulan. Pihak peguam kita akan meneliti beberapa persoalan dalam beberapa kerusi.
“Kehilangan atau pun kertas undi yang tidak dikembalikan seperti di Sungai Kandis dan jumlah perbezaannya sangat kecil seperti majoriti 167 (Sungai Kandis).
“Manakala di Gombak Setia (58) saya percaya mungkin di situ ada tetapi biarlah peguam meneliti bagi persoalan-persoalan tersebut atau penelitian terhadap analisis,” katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi .
PH-BN menang dengan 34 kerusi seterusnya membolehkan pembentukan kerajaan negeri sementara Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi 24 kerusi.
Jelas Amirudin, pihaknya menganggap saingan diberikan PN tidak begitu getir kerana hanya kekurangan empat kerusi memperoleh sokongan dua pertiga.
“Saya percaya kalau kadar turun mengundi itu tinggi dengan kelebihan dua atau tiga peratus lagi, kita akan mendapatkan majoriti dua pertiga. Tetapi tidak jauh daripada sasaran kita,” katanya. -KOSMO!ONLINE