ALOR SETAR – Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan beliau sendiri tidak tahu sama ada namanya berada dalam senarai individu yang akan dilantik menjadi Menteri Besar atau tidak selepas ini.
Menurut Pengerusi PN Kedah itu, beliau bukanlah individu yang akan membuat keputusan mengenainya kerana hal berkenaan bakal diputuskan oleh pimpinan tertinggi PN.
“Saya pun tak tahu sama ada nama saya berada dalam senarai atau tidak dan saya bercakap ini sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN. Perkara itu sedang diuruskan parti, nama saya atau nama siapa yang dibawa mengadap Sultan Kedah, itu saya tak tahu.
“Cuma setakat ini saya masih Menteri Besar kepada kerajaan sementara sehinggalah Menteri Besar baharu dilantik. Senarai nama itu akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Norizan Khazali,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah di sini, malam tadi. – KOSMO! ONLINE