KUALA KANGSAR – Tindakan seorang lelaki yang memandu kereta secara berbahaya hingga memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal dan tiga kenderaan peronda polis (MPV) menerima padah apabila dia ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun itu bejaya ditahan di Kampung Sungai Siput Hulu di sini setelah dikejar tiga kenderaan MPV polis sejauh kira-kira lima kilometer.
Katanya, kejadian berlaku pada pukul 7 malam apabila sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar sedang melakukan rondaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kilometer 1 Jalan Kuala Kangsar Manong.
“Ketika sedang melakukan pemeriksaan, sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara berwarna putih yang datang dari arah Manong menuju ke Kuala Kangsar telah berhenti di bahu jalan sebelah kiri dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik dihampiri anggota untuk melakukan pemeriksaan, pemandunya bertindak mengundurkan kereta lalu memecut ke Taman Highland Park,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Omar Bakhtiar, polis telah mengejar dan mengarahkan pemandunya berhenti, namun tidak diendahkan sebaliknya suspek bertindak masuk ke laluan bertentangan hingga merempuh sebuah motosikal jenis Yamaha Ego ditunggang seorang wanita.
“Selepas pelanggaran tersebut suspek tidak berhenti dan terus memecut laju sehingga ke Taman Chandan Putri dan berpusing di kawasan perumahan tersebut beberapa kali.
“Dalam cubaa meloloskan diri, suspek telah melanggar bahagian belakang sebuah MPV polis semasa dipintas dan cuba melanggar sebuah lagi kenderaan polis namun berjaya dielak sebelum kereta dipandu suspek terbabas ke longkang,” katanya.
Katanya, suspek yang memandu dalam keadaan agresif terus memecut keretanya untuk melarikan diri sehingga berjaya ditangkap di Kampung Sungai Siput Hulu.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu yang beralamat di Kampung Perlop itu tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan kereta dipandunya pula telah tamat tempoh.
“Dia yang bebas pengaruh dadah itu bagaimanapun mempunyai satu rekod tangkapan di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 pada tahun 2017 dan lapan saman atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Katanya, suspek kini ditahan di IPD Kuala Kangsar dan akan direman untuk disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – K! ONLINE