KOTA BHARU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim berjaya menebus kekecewaannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dr. Hafidzah menang di kerusi DUN Kota Lama dengan majoriti 202 undi menewaskan calon Perikatan Nasional, Datuk Zamri Ismail, Tan Boon Kian atau Andy Tan (Parti Rakyat Malaysia) dan Izat Bukhary (Bebas).
Kemenangan itu menyaksikan gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) berjaya merampas kerusi tersebut daripada Pas sekali gus menebus kekalahannya yang bertanding di Parlimen Kota Bharu pada PRU15.
“Alhamdulillah, gabungan BN-PH menjadikan saya lebih kuat di sini (DUN Kota Lama).
“Berdasarkan maklumat, saya kurang mendapat undian daripada peti undi saluran golongan muda. Mungkin mereka masih belum terdedah dengan perkara dan maklumat yang saya ingin sampaikan di DUN Kota Lama,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan UMNO Kelantan di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Dr. Hafidzah memberitahu, dua kerusi yang dimenangi BN-PH pada PRN di Kelantan iaitu Kota Lama dan Galas dilihat mampu memberi impak dalam aspek semak dan imbang semasa sidang DUN.
“Saya akan membawa aspirasi Kerajaan Madani yang diperkenalkan di peringkat persekutuan kepada rakyat Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE