ALOR SETAR – Perikatan Nasional (PN) mengekalkan penguasaannya di Kedah apabila memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan PN yang ditunjangi Pas bersama Bersatu akan terus menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.
Jumlah kemenangan yang diperoleh PN itu lebih besar berbanding kedudukan kerusi sebelum ini iaitu Pas, 15 kerusi dan Bersatu (enam).
Sementara itu, keputusan PRN kali ini menyaksikan Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi DUN Kota Darul Aman (DAP), Bakar Arang (PKR) dan Sidam (PKR), namun Barisan Nasional (BN) dan Parti Amanah Negara (Amanah) gagal memperoleh sebarang kerusi.
Seperti dijangka, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Pengerusi PN Kedah berjaya mempertahankan DUN Jeneri dengan majoriti 16,050. – KOSMO! ONLINE