“ITU merupakan kesalahan paling besar dan terbodoh pernah saya lakukan terhadap bekas isteri.”
Demikian pengakuan spontan yang keluar dari mulut Azim (bukan nama sebenar) sekali gus mengakui kesalahan diri beberapa tahun lalu yang merubah seluruh kehidupannya kini.
Menyorot kembali, anak jati kelahiran Sungai Siput, Perak itu mengakui kesilapannya mungkin tidak boleh diterima sesetengah pihak termasuk ahli keluarga.
Ujar Azim, 38, perjalanan hidupnya pada asalnya sudah cantik disusun Allah SWT, namun atas kebodohan dan terlalu mengikuti perasaan, akhirnya semuanya musnah.
“Selepas tiga tahun bekerja dalam dunia perbankan, saya menemui isteri dan dari situ, cinta kami mula bersemi.
“Isteri juga kerja di bank yang sama, namun pangkatnya lebih tinggi jika dibandingkan dengan saya.
“Perkenalan kami terlalu singkat dan masing-masing menerima kekurangan antara satu sama lain,” katanya mengimbas perkenalannya dengan bekas isterinya.
Jelas Azim lagi, setelah setahun mengenali hati budi Salina (bukan nama sebenar), mereka berdua sepakat untuk mendirikan rumah tangga secara sederhana.
Kata Azim, perjalanan hidupnya selepas bernikah bersama Salina dipermudahkan Allah hinggalah mereka dikurniakan sepasang cahaya mata.
Pun begitu, dalam kehidupan, pasti ada pasang surutnya. Begitu juga dengan ujian dan nasib yang menimpa Azim sekitar pertengahan tahun 2020.
Pandemik maut Covid-19 yang melanda negara pada ketika itu membuatkan periuk nasinya juga terkesan akibat diberhentikan kerja.
“Saya antara beberapa lagi staf yang terpaksa diberhentikan kerja kerana pandemik.
“Syarikat tidak mahu terus menanggung kerugian. Saya reda dengan ketentuan tersebut.
“Isteri pun turut memberikan semangat dan berjanji untuk sama-sama membantu mengharungi bersama,” katanya.
Ujar Azim lagi, pada ketika itu, berbekalkan sedikit wang pampasan yang diperoleh, dia beranikan diri untuk jalankan bisnes dari rumah, namun semuanya menemui kegagalan.
Wang simpanannya juga semakin hari semakin susut. Tiada lagi tempat bergantung selain dengan isterinya yang masih mempunyai pendapatan tetap.
“Saya masih ingat apabila isteri menawarkan untuk menggunakan wang simpanannya sebagai modal perniagaan lain yang saya minat.
“Jadi, setelah berbincang dan yakin perniagaan berasaskan makanan ringan tersebut boleh pergi jauh dan menjadi, saya menerima tawaran isteri,” katanya.
Kemudian, bermula dari situ, Azim ada mengenali beberapa orang pembekal bahan mentah dan salah seorangnya ialah Mila, seorang janda muda berusia 25 tahun.
Hubungan Azim dan Mila semakin hari semakin erat bukan sekadar rakan seperniagaan tetapi lebih daripada itu.
“Mila tidak tahu yang saya sudah berkahwin. Apa yang saya beritahu dia bahawa status saya duda tiada anak.
“Jadi bermula dari situ, hubungan kami semakin erat. Jujur kata, kami pernah terlanjur beberapa kali.
“Perniagaan berjalan seperti biasa. Ada kala saya langsung tidak pulang ke rumah dan bercuti bersama Mila di pulau-pulau peranginan tanpa pengetahuan isteri,” tuturnya kesal.
Jelas Azim, klimaks kepada penceritaan dan apa yang membuatkan semuanya berubah adalah ketika Mila bertegas mahu menikahinya kerana hamil anak luar nikah.
Jadi, hendak atau tidak, Azim berkata, dia perlu bertanggungjawab sebelum apa-apa yang buruk dan tidak diingini berlaku terutama campur tangan ahli keluarga.
“Jadi tanpa pengetahuan isteri, saya nikahi Mila di Selatan Thailand dan kami bergelar suami isteri yang sah.
“Pada masa itu, saya terpaksa tinggal di rumah Mila yang lebih kurang 50 kilometer jaraknya dari rumah saya sendiri,” katanya.
Hampir enam bulan berlalu dan Mila pun sudah selamat bersalin, Azim yang dalam keadaan buntu tanpa berfikir panjang menceraikan Salina tanpa sedikit pun belas kasihan.
Salina yang akhirnya mengetahui cerita sebenar kesal atas perbuatan suaminya itu, namun mendoakan bekas suaminya itu agar terus bahagia bersama pilihan hatinya.
Sekali lagi bagai ditimpa musibah, tidak sampai dua tahun perkahwinan keduanya itu, Azim diminta Mila untuk diceraikan kerana mendapat tahu yang dia sebenarnya menipu dan pernah berkahwin serta mempunyai zuriat.
Perniagaan yang diuruskan juga ibarat hidup segan mati tidak mahu. Bagaikan pembalasan di dunia, satu per satu musibah dan masalah melanda Azim sebagai pengajaran buatnya kerana berselingkuh.