BEIJING – Sebuah klip video memaparkan seorang budak perempuan berusia empat tahun tertidur sambil memeluk seekor ular sawa Burma, tular di media sosial China, lapor portal berita South China Morning Post (SCMP) hari ini.
Bapa gadis itu yang bernama Zheng, merakam video di sebuah pusat perlindungan haiwan di wilayah Fujian, tenggara China pada 7 Ogos lalu.
Dalam video tersebut, budak perempuan itu tertidur sambil bersandar pada kerusi ketika ular sawa besar itu melilit pinggangnya. Dia kemudian terjaga dan bermain dengannya.
Zheng berkata bahawa anak perempuannya menggemari haiwan. Dia membawanya ke tempat perlindungan haiwan di mana rakannya bekerja untuk melihat haiwan termasuk ular sawa sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Bercakap kepada laman berita Star Video selepas video itu tular, Zheng berkata bahawa ular itu jinak dan tidak menimbulkan ancaman kepada manusia.
Video itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen di mana kebanyakan mereka khuatir akan keselamatan budak perempuan itu. – Agensi