JERANTUT – Penduduk di Felda Kota Gelanggi di sini hidup dalam keresahan susulan kejadian harimau belang yang membaham haiwan ternakan dan kewujudan beruang matahari di kawasan kampung.
Harimau belang dikesan membunuh haiwan ternakan sejak dua minggu lalu, manakala sudah tiga hari beruang matahari dilihat berkeliaran di kawasan rumah penduduk di tanah rancangan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Kota Gelanggi Satu, Abdul Rahman Ghani berkata, kejadian beruang matahari yang berkeliaran di belakang rumahnya menyebabkan dia serta ahli keluarga takut hendak keluar rumah khususnya kawasan belakang kediaman itu.
Menurut Abdul Rahman, beruang matahari itu sudah memasuki kawasan penempatan di Felda tersebut sejak dua minggu lalu untuk mencari makananan seperti buah salak, pisang, ubi keledek serta tanaman lain di belakang kediaman penduduk.
“Saya sendiri terserempak dengan beruang matahari ini pada waktu petang dua hari berturut-turut apabila (beruang) sedang mengintai buah pisang yang masak di belakang dan kemudiannya lari ke dalam semak selepas terkejut melihat manusia.
“Ekoran kejadian ini, saya tidak berani lagi ke belakang rumah dan isteri takut turun menyidai pakaian di ampaian dan tidak berani mengambil serai serta sayuran untuk dimasak,” katanya di Felda Kota Gelanggi Satu dekat sini hari ini.
Tambah Abd Rahman, dia menerima laporan penduduk mengadu beruang matahari itu keluar pada sebelah petang dan malam untuk makan buah salak yang masak selain pisang, ubi dan tanaman lain, kemudiannya lari bersembunyi di kawasan hutan dan ladang sawit berdekatan.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, penduduk juga mengadu seekor harimau betina bersama dua anak dilihat berkeliaran mengancam ternakan mereka sejak bulan Ramadan lalu dan sehingga kini masih belum dapat ditangkap oleh pihak berwajib.
“Kita juga menerima laporan beberapa ekor ternakan kerbau di pinggir hutan milik penternak di sini dibaham harimau liar sehingga mengundang kebimbangan mereka kemungkinan banyak lagi ternakan akan mati.
“Ancaman dua spesies haiwan liar sekiranya tidak dibendung kemungkinan banyak tanaman lagi akan dimusnahkan oleh beruang matahari serta ternakan kerbau, lembu dan kambing akan dibaham oleh harimau dan lebih membimbangkan lagi ancaman keselamatan penduduk,” katanya.
Katanya, haiwan liar itu dipercayai datang dari hutan simpan berhampiran dan kerap kali menceroboh kawasan penempatan sejak beberapa tahun lalu untuk mencari makanan berikutan habitat mereka sudah diganggu dengan kegiatan penerokaan tanah untuk pertanian komersial.
“Kita telah memaklumkan kepada pihak berwajib untuk memasang perangkap dan sehingga kini haiwan liar ini masih belum dapat ditangkap dan keadaan ini amat membimbangkan penduduk yang keluar bekerja di ladang dan kebun pertanian,” katanya.
Dalam pada itu seorang penduduk Felda Kota Gelanggi Satu, Hadi Aznan berkata, keadaan haiwan liar seperti beruang matahari dan harimau memasuki kawasan kampung membimbangkan penduduk kerana mengundang risiko keselamatan.
“Sejak tahun lalu, kerap kali spesies seperti beruang matahari masuk ke kampung dan gajah liar berkeliaran di ladang sawit dan terkini harimau untuk mencari makanan setelah habitat haiwan liar ini di hutan simpan kawasan Lepar dan Kota Gelanggi diteroka untuk kawasan pertanian komersial, sawit dan sebagainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE