KOTA BHARU – Seorang jurusolek yang baru sahaja melahirkan anak ketiganya 13 hari lalu tetap turun mengundi untuk memilih wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 4 di sini hari ini.
Meskipun masih berpantang, Hayatul Ghazali,33, menggagahkan diri untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
“Alhamdullilah, saya pergi ke pusat mengundi di SK Sultan Ismail 4 bersama kakak, Nita Ghazali, 38. Dia membantu saya untuk ke saluran mengundi dan menyemak nama sebelum membuang undi.
“Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu dan memudahkan urusan mengundi apabila memberi kebenaran kepada saya yang sepatutnya mengundi di tingkat tiga sekolah itu untuk mengundi di tingkat satu,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Hayatul memberitahu, dia berharap wakil rakyat yang dipilih selepas Pilihan Raya Negeri menjalankan tanggungjawab dan mengambil berat isu masyarakat setempat. – KOSMO! ONLINE