PETALING JAYA – Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) menyeru semua penyokong parti gabungan itu untuk keluar mengundi dengan kadar segera.
Jelas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seti Takiyuddin Hassan, seruan itu dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) setakat 10 pagi di enam negeri terlibat sangat rendah.
“Di Terengganu adalah 22 peratus manakala Kedah dan Pulau Pinang masing-masing 20 peratus. Manakala Selangor pula mencatatkan 19 peratus, Negeri Sembilan 18 peratus dan 17 peratus di Kelantan.
“Peratusan ini adalah sangat rendah. Justeru pimpinan dengan itu mengarahkan dan menyeru semua ahli dan penyokong Pas, Bersatu dan Gerakan yang layak mengundi untuk keluar mengundi dengan kadar segera, tanpa terikat dengan masa tertentu asalkan dalam tempoh proses pengundian seperti ditetapkan,” ujarnya.
Tambahnya, setiap undi anda adalah penting dan dikira dan menganggap ketika ini bukan masa untuk pengundi protes atau merosakkan undi.
“Ini bukan masanya untuk menunjukkan protes terhadap proses pilihan raya atau cubaan merosakkan undi kerana kita tidak seharusnya membiarkan keadaan sekarang berterusan.
“Dengan tidak memilih pihak mana yang hendak disokong atau dengan tidak mengundi, secara tidak langsung kita telah menidakkan hak kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE