REMBAU – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan sekiranya Barisan Nasional (BN) mampu memenangi lebih kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berbanding Pakatan Harapan (PH), nama Menteri Besar yang perlu dihantar kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Khairy berkata, Jalal selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kerajaan Persekutuan serta berdasarkan perkiraan keadilan, itu yang perlu dilakukan.
Malah menurut bekas Ahli Parlimen Rembau itu, ia akan menjadi masalah serta tidak adil, sekiranya menang kerusi kurang dari UMNO dan nama yang dihantar adalah Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Dia (Menteri Besar) siapa menang lebih lah. Kalau PH BN menang di Negeri Sembilan, kalau BN lebih kerusi dari PH, Datuk Jalaluddin kena jadi Menteri Besar lah… tu ja fullstop. Dia tak boleh kalau PH menang kurang daripada BN, Aminuddin (Datuk Seri Aminuddin Harun) jadi Menteri Besar.
“Itu matametik lah… Siapa yang lebih dapat Jadi Menter Besar dan tentunya dengan perkenan (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuang undi di Sekolah Menengah Agama HJ Mohd Yatim (SMAHMY), Ulu Gadong, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai senario PH dan BN yang bakal berhadapan kesukatan bagi menentukan siapakah Menteri Besar di negeri ini sekiranya menang dalam PRN kali ini.
Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi dengan penguasaan PH sebanyak 19 kerusi iaitu DAP, 11 kerusi; PKR (enam), Amanah (dua), manakala BN, 17 kerusi.
Terdahulu, Jalaluddin dilaporkan berkata, kesemua 18 calon lelaki daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ditandingi gabungan BN dan PH layak untuk menjadi calon Menteri Besar. – KOSMO! ONLINE