HULU TERENGGANU – Empat sekawan Orang Asli Semaq Beri yang masuk mencari hasil hutan di kawasan Tasik Kenyir sejak lebih seminggu lalu sanggup keluar awal dari hutan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu hari ini.
Yusof Akom,22; bersama Mazlan Karim,21; Hasibi Salleh,21, dan Halim Akong, 20, pulang ke perkampungan Orang Asli Sungai Berua pada Khamis lalu setelah dijejak kepimpunan komuniti Orang Asli tersebut sehari sebelum itu.
Keempat mereka yang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong tiba dengan menaiki tiga buah motosikal bagi membuang undi.
Yusof berkata, pada asalnya, mereka merancang hanya akan keluar dari hutan pada minggu hadapan, namun keluar awal demi laksanakan tanggungjawab kepada negara.
Dia memberitahu, perjalanan keluar dari hutan iaitu lokasi mereka mencari hasil hutan memakan masa kira-kira lima jam.
“Walaupun hasil hutan diperoleh masih belum lagi memuaskan, namun kami akur diminta pulang untuk mengundi hari ini.
“Kami faham tanggungjawab mengundi ini lebih besar kerana ia penentu masa depan negeri dan negara,” katanya ketika ditemui di luar pusat mengundi SK Tapah di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE