SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri warga emas mencuri tumpuan apabila kedua-duanya tiba secara beriringan ke pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yu di sini dengan berkerusi roda.
Mat Nordin Mat Aroff, 75, berkata, dia dan isterinya, Noriah Saad, 69, dihantar ke situ dengan menggunakan kenderaan milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertugas pada hari pengundian itu.
“‘Depa mai’ (mereka datang) ambil kami kat rumah dalam pukul 9.30 pagi dan akan hantar kami pulang lepas (sebaik sahaja) kami habis (selesai mengundi).
“Anak-anak ada tapi depa mai ‘asing-asing’ (berasingan) sebab ada yang tempat mengundi pun tak sama. Dah ada kemudahan macam ni kami gunalah,” katanya kepada pemberita, di Kepala Batas hari ini.
Mat Nordin yang tinggal di Kampung Datuk di sini berkata, meskipun berkerusi roda mereka tetap bersemangat untuk keluar mengundi awal.
“Kami ada masalah saraf. Tapi, dia (isteri) kena dulu. Saya baru sahaja (kena). Kami juga sebenarnya boleh jalan lagi tapi dekat-dekat sahajalah.
“Tapi, kalau macam ni (datang mengundi) memang kena naik kerusi rodalah sebab tak tahan untuk berjalan lama (dan jauh),” ujar bapa kepada lima orang anak itu. – KOSMO! ONLINE