SEREMBAN – Meskipun berkaki palsu seorang lelaki tidak patah semangat untuk hadir di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Puteri di sini hari ini.
Lelaki itu, Chong Nam, 55, tidak mahu melepaskan peluang untuk menunaikan tanggung jawab sebagai rakyat Malaysia.
Katanya, kakinya di potong selepas dihempap penghawa dingin ketika sedang berkerja pada tahun 2021.
“Mengundi ini satu kewajipan kepada kita sebagai rakyat jadi tiada sebab untuk kita ambil mudah perkara ini.
“Tanggung jawab ini perlu ditunaikan walau dalam apa keadaan sekalipun,” katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.
Tambah Chong, semangat kena kuat kerana selepas kejadian kakinya terpaksa dipotong dan hampir enam bulan tidak dapat bekerja.
“Saya ambil masa dua bulan selepas dapat kaki palsu untuk menyesuaikan diri sebelum mula kerja semula di kedai barangan elektrik,” tambahnya.
Sementara itu, seorang warga emas, Tey Hai Eng Yu, 88, juga hadir mengundi ke pusat itu walaupun terpaksa menaiki berkerusi roda.
“Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi setiap kali Pilihan Raya. Kita warga negara mesti datang mengundi. Hari ini menantu saya tolong tolak kerusi roda untuk saya datang ke sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE