KOTA BHARU – Polis menahan empat lelaki dalam Ops Samseng Jalanan dan Lumba Haram yang diadakan di Jalan Kota Bharu – Pasir Puteh dan di Jalan Chempaka dekat Pengkalan Chepa di sini awal pagi tadi.
Empat lelaki yang berusia antara 16 hingga 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 hingga 3 pagi oleh sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan operasi di kawasan sekitar Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya turut menyita empat motosikal jenis Honda EX5, C70, RS150 dan LC135 yang ditunggang mereka.
Katanya, kesemua lelaki yang ditahan itu melakukan kesalahan dengan membuat aksi mengangkat tayar hadapan dan menundukkan kepala sambil mencelah antara kenderaan lain.
“Kesemua yang ditahan itu merupakan pelajar, mekanik, peniaga dan buruh. Keempat-empat mereka juga berasal dari Kota Bharu.
“Mereka menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, siasatan mendapati, mereka melakukan aksi berbahaya itu untuk mencuba kelajuan motosikal masing-masing.
Katanya, dalam operasi tersebut, polis turut mengeluarkan 26 saman pelbagai kesalahan terhadap penunggang motosikal.
Keempat-empat penunggang motosikal ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara berbahaya. – K! ONLINE