SEBERANG PERAI – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap jumlah pengundi yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini lebih tinggi atau sekurang-kurangnya menyamai jumlah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Menurut bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu, seperti yang dinyatakan sebelum ini, wakil rakyat yang diberi mandat berdasarkan jumlah peratusan keluar mengundi yang ramai adalah wakil rakyat yang ‘tulen’.
“Agak malang kalau peratusan (yang keluar mengundi) itu rendah. Tentulah ia bukan satu ‘reflection’ (gambaran) yang betul.
“Jadi, saya mendoakan agar peratusan ini bertambah (sehingga pusat mengundi ditutup petang ini),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yu, Kepala Batas di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau tiba di pusat pengundian itu kita-kira pukul 9.50 pagi dengan ditemani isteri, Datin Seri Ismalina Ismail; anak, Reena Awliyatul Iman serta beberapa ahli keluarga mereka yang lain. – KOSMO! ONLINE