TUMPAT – Keadaan cacat penglihatan tidak menghalang seorang lelaki untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di sini hari ini.
Mohd. Nor Mohd. Din, 42, hadir di sekolah berkenaan dengan ditemani isterinya, Nor Suriani Yaacob, 38.
Mohd. Nor berkata, dia teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan tidak pernah terlepas untuk mengundi sejak berusia 21 tahun lagi.
“Setiap kali pilihan raya, saya tetap akan keluar mengundi kerana ini adalah tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya ditemui di sini.
Sementara itu, Nor Suriani berkata, selesai suaminya membuang undi, dia akan bergegas ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor di Kota Bharu untuk mengundi bagi kawasan tersebut.
“Keadaan cuaca hari ini baik, kami lebih selesa mengundi awal pagi untuk elak kesesakan lalu lintas,” katanya. – KOSMO! ONLINE