ALOR SETAR – Rakyat boleh menilai siapa yang berbohong dalam isu pelaburan firma teknologi Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon), hanya dengan menyemak sendiri kesahihan maklumat tersebut di dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, dengan maklumat yang mudah diperolehi itu, rakyat sudah boleh mengetahui siapa yang menipu sama ada beliau atau Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Anwar dalam ceramahnya mendedahkan, keputusan pelaburan itu baru sahaja diputuskan oleh mesyuarat lembaga pengarah syarikat itu pada minggu lalu dan bukannya dua tahun lalu seperti dimaklumkan Sanusi.
“Keputusan untuk meluluskan pelaburan bernilai 5 bilion Euro atau RM25 bilion itu baru sahaja diluluskan di Jerman 10 hari lalu tapi dia (Menteri Besar Kedah) kata dah tandatangan dua tahun lalu.
“Semua orang boleh semak dalam internet. Pengurusan Infineon ada datang semula ke sini, satu setengah bulan lalu,” katanya, semasa Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Hutan Kampung, di sini hari ini.
Tambah Anwar, dia mengakui kerajaan negeri ada membantu dari segi pemberian tanah kepada syarikat itu namun kerajaan persekutuan melakukan lebih usaha termasuk menyediakan insentif kepada pelabur dan prasarana di negeri itu.
Dalam pertemuan itu juga, pihak pengurusan Infineon turut bertanyakan beberapa soalan seperti apakah kerajaan perpaduan sekarang dalam keadaan stabil.
“Selagi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kekal kita boleh bawa (kestabilan). Wakil Sabah dan Sarawak bersama dengan saya.
“Mereka juga berpuas hati dengan dasar ekonomi kerajaan Madani dan bertanya apakah betul dasar ini tidak dirombak dan kita mengatakan ia sudah ditandatangan jemaah menteri.
Kata Anwar lagi, pihak pengurusan juga memerhatikan ada percubaan golongan pelampau yang mungkin merosakkan serta mengubah dasar.
“Saya mengatakan tidak ada masalah kerana kita masih berkuasa di peringkat persekutuan. Itu kebimbangan dia (Infineon). Kita ada majoriti. Keadaan keselamatan dan keamanan terkawal.
“Mereka mengatakan jangan umum dulu, kemungkinan akan membuat pelaburan sebelum mesyuarat lembaga memutuskan untuk melabur 5 bilion Euro atau RM25 bilion,” jelasnya.
Anwar menegaskan, tidak betul kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengatakan pihak Infineon telah setuju dua tahun lalu dan perkara in dijadikan isu politik untuk menyerang orang lain. – KOSMO! ONLINE