KLANG – Kemeriahan sambutan Deepavali yang bakal disambut esok dirasakan suram bagi keluarga C. Simon, 63, yang tinggal di Taman Klang Jaya di sini.
Menurut Simon, ini berikutan isterinya, K. Uma Devi, 60, lumpuh separuh badan selepas diserang angin ahmar secara mengejut sejak 14 tahun lalu.
Katanya, kejadian berlaku ketika isterinya menjaga anak ketiga mereka yang menjalani rawatan penyakit buah pinggang di sebuah hospital sebelum ini.
Anak ketiganya itu bagaimanapun meninggal dunia Oktober tahun lalu.
“Urusan menjaga isteri lebih selesa dilakukan oleh saya sendiri termasuk makan dan minumnya serta memastikan kesihatan tidak terganggu akibat serangan sawan dan lain-lain komplikasi.
“Kami hanya bergantung bantuan bulanan RM1,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) susulan caruman isteri yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat pertanian dalam meneruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Bapa kepada empat anak berusia 26 hingga 35 tahun itu memberitahu, keceriaan perayaan turut hilang selepas anak bongsunya yang bertugas di sebuah syarikat pengangkutan di Pelabuhan Klang dengan pendapatan RM2,200 sebulan telah dibuang kerja berikutan Covid-19.
Ujarnya, dia enggan mengganggu tiga lagi anaknya berikutan mereka telah berkeluarga dan mempunyai pendapatan sederhana.
“Buntu juga apabila memikirkan setiap bulan perlu membayar sewa rumah sebanyak RM800 dan perbelanjaan dapur terutama ketika tidak lagi keluar mencari dan menjual besi buruk susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga Simon boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 1121 1141 1767 atas nama Uma Devi atau menghubungi Simon di talian 016-602 9465. – K! ONLINE