KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengambil pendekatan mengunci mulut selepas pimpinan parti itu membuat keputusan untuk menggantikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dan dirinya sebagai Timbalan Menteri Kelantan sekiranya Pas kekal mentadbir negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Mohd. Amar yang merupakan calon Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor bagaimanapun mahu fokus untuk menang dan mengekalkan pentadbiran parti itu di Kelantan.
“Saya tiada komen. Itu perlu tanya Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Pas).
“Nak tanya, saya nak jawab gapo (apa)?,” katanya, ketika ditemui pemberita di rumahnya di Panchor, di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan, Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar baharu berikutan keputusan Pas mencadangkan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu jika menang PRN nanti.
Sehubungan itu, Ahmad Yakob dan Mohd. Amar dijangka tidak dilantik semula memegang jawatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE