fbpx

PRN: Pas ulang yakin rebut 33 DUN di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi.

ALOR SETAR – Menjelang hari pengundian esok, Pas terus menaruh keyakinan untuk memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kali ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sasaran yang ditetapkan sejak beberapa bulan lalu masih kekal sehingga hari terakhir kempen, hari ini.

“Sasaran kami masih kekal seperti sebelum ini untuk menang di 33 kerusi,” katanya ringkas ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menaruh keyakinan segala isu yang dibawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) termasuk kecurian unsur nadir bumi (REE) tidak akan memberi kesan kepada pengundi di Kedah.

“Ada satu saja modal depa (mereka) iaitu REE. Itu pun tak ada asas dan ‘kantoi’,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, PH-BN memiliki keyakinan untuk mentadbir negeri ini dengan setidak-tidaknya majoriti mudah.

“Pada hari terakhir berkempen, saya masih berpegang kepada apa yang kami nyatakan sebelum ini 16 kerusi sudah ada dalam tangan PH-BN. Tiga kerusi lagi diperlukan untuk kami membentuk kerajaan negeri bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diperoleh,” katanya.

Menurutnya, PN sendiri sedar dengan sokongan terhadap PH-BN yang kian meningkat menyebabkan mereka mula menunjukkan tanda-tanda panik.

Dalam pada itu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Mahdzir Khalid mengingatkan pengundi agar memilih gabungan yang benar-benar boleh memberikan perkhidmatan serta membantu rakyat dalam apa jua keadaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI