SEKALIPUN sudah memiliki pilihan regular, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon mencabar pemain-pemain lain supaya tampil lebih baik bersama kelab masing-masing bagi memikat hatinya, sekali gus akan disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya pada tugasan anatarabangsa akan datang.
Jurulatih dari Korea Selatan itu mengakui, beliau memerlukan ‘masalah tambahan’ bagi memastikan skuad kebangsaan berada pada tahap maksimum memandangkan bakal berdepan lawan yang lebih baik dari segi ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Susah untuk saya katakan sesuatu (kepada pemain), namun mereka kena bersaing antara satu sama lain untuk menembusi skuad kebangsaan. Itu kerja mereka dan kami di barisan kejurulatihan akan cuba sehabis baik untuk memantau perkembangan dari semasa ke semasa.
“Kami akan pilih siapa saja yang terbaik, sesuai dengan taktikal dan teknikal pasukan. Tidak kira di mana dan bila sekalipun, pemain harus memberi sehabis baik untuk mendapatkan peluang beraksi,” katanya.
Bulan depan, Harimau Malaya bakal berlepas ke Chengdu, China untuk menghadapi dua aksi persahabatan menentang Syria pada 6 September dan China (9 September) sebelum mengharungi Pestabola Merdeka pada Oktober depan.
Seterusnya, Pan Gon akan meneruskan tugasan antarabangsa bagi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang bermula November ini dengan menyaksikan skuad negara berada dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang perlawanan antara Taiwan dan Timor Leste.
Pada masa sama, Pan Gon juga bersedia ‘buka pintu’ kepada pemain import Liga Malaysia (Liga M) yang bakal melengkapkan proses naturalisasi.
“Kami tidak tahu lagi, jika mereka dapat pasport, diharapkan dapat bantu (tambah baik) kita dari segi fizikal dan serangan. Kita lihat bila mereka akan dapat pasport,” katanya.
Ketika ini pertahanan Terengganu, Argzim Redzovic dan tonggak Kuala Lumpur City, Romel Morales dilaporkan sedang menanti pasport masing-masing dan dikatakan mampu berada dalam skuad Harimau Malaya.