MUNGKIN anda semua kerap ternampak kereta BYD Atto3 akhir-akhir ini. Ia merupakan jenama baharu di Malaysia tetapi berjaya menarik minat pembeli di sini.
BYD ialah sebuah syarikat teknologi tinggi dari China yang mengkhusus dalam usaha memanfaatkan inovasi teknologi bagi menambah baik kehidupan.
Syarikat yang diasaskan pada tahun 1995 itu merupakan sebuah syarikat pembuat bateri boleh cas semula. Jenama itu kini terlibat dalam pelbagai perniagaan meliputi kenderaan, transit rel, tenaga baharu dan elektronik.
Daripada penjanaan dan simpanan tenaga sehinggalah aplikasinya, BYD berusaha gigih menyediakan penyelesaian tenaga emisi sifar yang mengurangkan kebergantungan global kepada bahan api fosil.
BYD kini dikenali sebagai sebuah syarikat yang tersenarai di Fortune Global 500 yang mempelopori inovasi dalam usaha membina dunia yang lebih hijau.
Pada bulan Julai lalu, syarikat itu membuat kejutan lagi di Malaysia dengan melancarkan kenderaan elektrik (EV) keduanya, Dolphin pada harga RM99,900.
Dolphin menjadi EV kedua yang dilancarkan pada harga bawah RM100,000 selepas Neta V.
Dolphin dibina menggunakan e-Platform 3.0 dengan menggunakan BYD Batery Blade. Ia juga digelar sebagai rangkaian kuasa elektrik 8-dalam-1 pertama di dunia dihasilkan secara besar-besaran yang mengoptimumkan penggunaan ruang dan kecekapan tenaga.
Ketika dilancarkan, dua varian diperkenalkan iaitu Dynamic Standard Range dan Premium Extended Range.
Kali ini penulis ceritakan varian Dynamic Standard Range dulu. Baru-baru ini penulis berpeluang memandu uji ringkas model Dolphin.
Perjalanan tidak jauh cuma dari Desa Park City, Kuala Lumpur menuju ke Elmina, Shah Alam melalui Lebuh Raya Bertingkat Damansara–Shah Alam (DASH).
Dari segi pemanduan, model ini boleh dikatakan selesa dan sedap dipandu. Rasa seperti memandu sebuah EV mewah.
Sistem suspensi juga berjaya menyerap hentakan dengan baik walaupun ketika melalui jalan tidak rata.
Dari segi pecutan, model Dolphin varian Dynamic Standard Range ini berkeupayaan memecut dari pegun hingga kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 12.3 saat.
Untuk pengetahuan anda, model ini menggunakan motor elektrik Permanent Magnet Synchronous dengan pacuan roda hadapan.
Kapasiti bateri untuk varian ini ialah 44.9 kWh. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan 70kW dan tork tertinggi pada 180Nm.
Dengan sekali caj penuh berdasarkan mod ujian Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC), varian ini mampu bergerak sejauh 410 kilometer (km). Pengecasan maksimum (DC) ialah 60kW.
Rekaan luaran model ini diinspirasikan daripada keindahan dan keanggunan namanya, BYD Dolphin.
Ia menampilkan konsep rekaan ‘estetika lautan’ dengan aliran bentuk luaran badan yang digabungkan dengan kontur dari lampu LED bersambung merentasi gril tengah dan reka bentuk lampu belakang jenis geometri.
Selain itu, Dolphin ini hadir dengan elemen seperti pemegang pintu berbentuk sirip. Varian ini juga menggunakan rim dua tona bersaiz 16 inci dengan tayar 195/60. Penulis suka tengok rekaan luaran kereta ini, ringkas tetapi nampak moden.
Masuk ke ruang kabin, rekaan bahagian dalaman nampak sporty dan canggih kerana tempat duduk dengan rekaan tersendiri serta papan pemuka yang unik.
Skrin sentuh berukuran 12.8 inci ini bersifat 360 darjah, ia boleh ditetapkan dalam keadaan melintang atau menegak. Selain itu, model ini juga hadir dengan ketersambungan Apple CarPlay.
Kesimpulannya, pada pandangan penulis, model ini sesuai dijadikan EV pertama kepada mereka yang baru berminat untuk mencuba kenderaan elektrik kerana harganya yang menarik.
Walaupun harga rendah berbanding EV daripada beberapa jenama lain, spesifikasi yang ditawarkan menarik setanding dengan jenama yang lebih mahal.