PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu esok, berjalan lancar dan baik.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau turut mendoakan agar semua pengundi dalam pilihan raya tersebut dapat menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan tenang dan aman.
“Pada 12 Ogos ini (esok), insya-Allah rakan-rakan, saudara dan saudari di enam negeri kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Kuala Terengganu akan menunaikan tanggungjawab mereka.
“Memastikan memilih calon yang didukung, menerajui kerajaan negeri dan Parlimen Kuala Terengganu. Saya mendoakan ke hadrat Allah mudah-mudahan berjalan lancar dan baik. Tenang dalam menyempurnakan tanggungjawab,” katanya menerusi rakaman video, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau percaya semua pengundi termasuk pengundi muda yang baru diberi hak untuk mengundi dalam PRN dan PRK kali ini, dapat memilih dengan bijak.
Katanya, beliau percaya para pengundi akan memilih kerajaan negeri yang mampu menjaga keamanan, kestabilan, memulihkan ekonomi dan memberikan jaminan pekerjaan.
“Lebih utama (dapat memberi) keselesaan hidup kepada diri keluarga mereka dan juga negara Malaysia tercinta.
“Alhamdulillah tanggungjawab ini suatu yang serius untuk menjamin kemajuan bagi negara dan juga keamanan dan perpaduan rakyat seluruhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE