PUTRAJAYA – Yayasan Restu menyasarkan untuk mencetak dan mengedarkan 500,000 naskah al-Quran ke luar negara menjelang hujung tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, itu perancangan fasa pertama program Kempen Infak dan Wakaf Satu Juta Al-Quran yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, kerajaan menerusi kerjasama Yayasan Restu akan mencetak sejuta naskah al-Quran dalam tempoh dua tahun untuk diedar ke luar negara.
“Fasa pertama (sehingga hujung tahun ini), penerbitan dan percetakan yang sedang dilaksanakan oleh Yayasan Restu terdiri daripada al-Quran al-Karim dan Terjemahan dalam bahasa Swedish, Inggeris; Sepanyol Latin; Cina atau Mandarin; Khmer; Perancis; Tamil; Tagalog dan Hindi.
“Manakala baki 500,000 pula dijangka akan selesai diterbitkan dalam fasa kedua bermula tahun depan,” katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Kontena ‘Kempen Infak dan Wakaf Satu Juta Al-Quran’, di sini hari ini.
Katanya, mengikut perancangan, sebanyak 300,000 naskah al-Quran akan dihantar ke negara-negara seperti India dan Australia pada bulan depan.
Mohd. Na’im berkata, Yayasan Restu memerlukan peruntukan sebanyak RM38 juta bagi mencetak dan menerbitkan satu juta naskah al-Quran bagi melancarkan kempen itu.
“Anggaran kos bagi setiap al-Quran yang akan diterbitkan adalah sebanyak RM30 senaskhah, manakala kos penghantaran dan pengedaran adalah sebanyak RM8 senaskhah,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, Yayasan Restu telah melancarkan tabung Wakaf Qurani yang melibatkan pelbagai agensi, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta, perkumpulan awam dan orang perseorangan termasuk media-media arus perdana bagi mengumpulkan dana tersebut.
“Antara kempen lain yang dilaksanakan ialah peluncuran trak berkontena saiz 20 kaki yang berpelekat stiker ‘KEMPEN INFAK DAN WAKAF 1 JUTA AL-QURAN’ tersebut akan dipandu ke empat stesen mengikut zon iaitu Pulau Pinang (Zon Utara), Negeri Sembilan dan Melaka (Zon Selatan) dan Pahang (Zon Timur) serta berakhir di Selangor (Zon Tengah).
“Ini bertujuan bagi menguar-uarkan kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai usaha yang sedang dilaksanakan ini. Orang ramai diberi peluang untuk turut bersama-sama menyumbang dengan cara berwakaf tunai,” katanya.
Pada 28 Jan lepas, Anwar dilaporkan berkata Malaysia akan mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan segera di seluruh dunia sebagai tindakan balas terhadap insiden membakar naskah al-Quran di Sweden. – KOSMO! ONLINE