CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam perancangan menguatkuasakan undang-undang pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di setiap taska berdaftar dalam usaha menangani kes penderaan kanak-kanak.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemasangan CCTV di pusat jagaan kanak-kanak itu bukan sahaja bertujuan mengelak perkara tidak diingini berlaku, tetapi sebagai rekod simpanan sekiranya diperlukan untuk rujukan.
Menurut beliau, KPWKM akan berbincang mengenai perkara itu dengan jabatan dan agensi berkaitan termasuk meneliti pelbagai aspek terutama berkaitan kos pemasangan.
“Kita memberi arahan (pemasangan CCTV), tetapi belum ada dalam penguatkuasaan undang-undang (untuk mewajibkan). Setakat ini kita hanya boleh menggalakkan mereka (pengusaha taska).
“Dulu pun kita suruh, tetapi ada yang tidak bersetuju kerana kos. Jadi mungkin kita akan lihat adakah ia melibatkan kos yang terlalu tinggi? Itu kita akan bincang secara bersama,” katanya selepas Program Pemerkasaan Organisasi Dalam Komuniti @KPWKM Tahun 2023 di sini hari ini.
Nancy berkata demikian ketika ditanya berhubung kejadian tular membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang ditendang, ditampar dan rambutnya ditarik pengasuh wanita dalam kejadian di sebuah taska di Luyang, Kota Kinabalu.
Mengulas lanjut, kata beliau, dengan adanya CCTV di setiap premis, ia dapat mengembalikan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke taska. – KOSMO! ONLINE