KUALA SELANGOR – Abang sulung kepada bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar meninggal dunia akibat masalah usus malam tadi.
Allahyarham Hamzah, 68, menghembuskan nafas terakhirnya di rumah pusaka keluarga di Kampung Pinang, Sungai Burong, Tanjong Karang di sini, kira-kira pukul 8.30 malam.
Noh berkata, anak sulung daripada 15 beradik itu menerima rawatan di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pukul 3 petang.
“Hospital kemudian meminta ahli keluarga membawa pulang abang saya yang mempunyai masalah usus ke rumah. Semua urusan dipermudahkan dan beliau meninggal dunia di rumah keluarga kami,” katanya ketika ditemui hari ini.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Madrasah Haji Omar dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Dua, Sungai Burong pukul 10.30 pagi tadi.
Tambah Noh, arwah sempat berpesan supaya terus menjaga silaturahim dan ikatan kekeluargaan Haji Omar.
Sementara itu, Nurul Syazwani yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang berkata, dia bergegas pulang ke rumah selepas menerima khabar duka berkenaan ketika sedang berkempen malam tadi.
“Saya sememangnya amat rapat dengan ‘Pak Long’ yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan supaya terus berkhidmat kepada rakyat. Kehilangan arwah amat dirasai dan pesanan beliau itu akan terus menyuntik semangat saya untuk menabur bakti di Tanjong Karang,” katanya.
Allahyarham Hamzah yang juga bekas pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meninggalkan seorang isteri, dua anak dan seorang cucu. – KOSMO! ONLINE