fbpx

PRN: Bantuan RM1,000 urus anak antara dilaksanakan dalam tempoh 100 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin.

SHAH ALAM – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan lima perkara dalam Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari sekiranya memenangi Piilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini meliputi pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak bagi menghargai wanita bekerja.

Katanya, kerajaan perpaduan Selangor juga akan melaksanakan pengecualian cukai pintu untuk rumah kampung, rumah kos rendah.

“Pelaksanaan tawaran itu juga melibatkan baucar buku Kita Selangor bernilai RM200 kepada 1,000 mahasiswa negeri ini selain menaikkan elaun imam, bilal dan siak.

“Seramai 500 petani, pesawah dan nelayan juga akan terima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM1000,” katanya ketika berucap pada amanat khas Menteri Besar Selangor, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PH Selangor memberitahu, keyakinan untuk melaksanakan ini semua bukanlah kerana kita angkuh akan tetapi kerana yakin dengan kebijaksanaan rakyat Selangor.

Justeru, kata Amirudin, rakyat mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ini atau pun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan PRN ini untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara.

“Malah (gabungan itu) terbukti tiada idea baharu dan tiada perancangan untuk negeri Selangor, negeri yang kita cintai ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat harus melaksanakan amanah mengundi ini dengan rasa penuh tanggungjawab.

“Kita harus menyingkirkan emosi dan ego ketika memilih pimpinan negeri. Jangan sesekali dipengaruhi rasa benci. Ini bukanlah zero-sum game.

“Janganlah kerana pilihan raya, kita menaruh dendam dan menanam benih kebencian. Janganlah kerana pilihanraya kita suudzon terhadap akidah saudara
kita,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI