PETALING JAYA – Seorang warga emas yang sebelum ini pernah mencuri perhatian ramai kerana fasih berbahasa Melayu menggunakan dialek Terengganu telah berjaya mendapatkan ijazah kedoktoran pada usia 80 tahun.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh cucunya, Sabrina Bolivar di TikTok berkata akhirnya neneknya yang berwarganegara Perancis itu berjaya lulus Ijazah Kedoktoran dalam bidang Etnobotani dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
“Alhamdulillah, dia (nenek) berjaya juga buat! Terima kasih semua atas doa dan ucapan yang baik untuk nenek saya,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Difahamkan, neneknya, Christine Rohani Longuet memiliki Ijazah Sarjana Seni Bina dan telah menetap selama 47 tahun di Terengganu setelah berkahwin dengan seorang pembuat kapal tempatan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai kagum dengan kesungguhannya dalam menyambung pelajaran di usia yang sudah lanjut serta ada juga yang menitipkan ucapan tahniah.
“Wah, hebat. Tahniah Dr Rohani, tahniah juga kepada semua tulang belakang yang membantu,” komen Cahaya.
“Tahniah, dia (nenek) adalah inspirasi saya!,” kata Nur Syafira.
“Tahniah, satu pencapaian yang jarang berlaku,” komen Khotib Daud. – KOSMO! ONLINE