MELAKA – Empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh dua lelaki pada bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Lok Kian Seng, 47; Daniel Ho Chin Cher, 33; Woon Chee Weng, 44, dan Lim Chien Voon, 41, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Stanley Chew Kok Kin, 24, dan Soo Yao Long, 26.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Perdana dalam daerah Melaka Tengah antara 7 hingga 10 Julai 2023.
Sabit kesalahan kesemua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati hendaklah dikenakan tidak kurang 12 kali sebatan memgikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 12 September depan untuk serahan laporan bedah siasat dan lain-lain laporan berkaitan.
Kosmo! pada 10 Julai lalu melaporkan mayat dua lelaki bertatu dipercayai dibunuh ditemui di dalam semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang di Cheng, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat tersebut telah ditemui di dalam kain kanvas dengan keadaan tangan diikat dengan tali kabel kira-kira pukul 9 pagi.
Ujarnya, mangsa dipercayai telah dibunuh di lokasi lain sebelum mayat mereka dibuang lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE