KUALA LUMPUR – ‘Saya dan Nad Zainal masih berkawan’
Demikian respons pengacara Sherry Alhadad berhubung isu kononnya tidak lagi bersahabat serta saling bermasam muka dengan sahabat baiknya, pelakon Nad Zainal.
Kata Sherry atau nama lengkapnya Sharifah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, meskipun Nad Zainal seolah-olah hilang dari radar seni tanah air, namun dia masih berhubung dengan ibu bapa rakannya itu untuk bertanya khabar.
“Saya masih berhubung dengan ibu dan bapa Nad, saya gembira dia kini sudah menemui kebahagiaan yang dia cari malah bakal melahirkan anak tidak lama lagi.
“Semuanya berkat doa dan pertolongan ramai orang ketika dia memerlukan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di majlis Sidang Media Drama B.A.R.I.S.T.A : Misi Terpaling Sulit, semalam.
Ditanya bila kali terakhir berhubung dengan aktres terbabit, penghibur berusia 39 tahun itu berkata, kali terakhir bersua muka adalah sebelum Nad mendirikan rumah tangga buat kali kedua.
Meskipun tidak dihubungi sehingga ke hari ini, Sherry percaya masing-masing mempunyai komitmen sendiri selain berkejaran dengan waktu sehingga tiada ruang untuk bertanya khabar.
“Setakat ini, saya masih belum hubungi dia, dia juga tak hubungi saya, masing-masing sudah ada tanggungjawab, saya dengan hidup saya dan begitulah sebaliknya.
“Namun saya tidak pernah lupa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan dia, saya kenal dia daripada umurnya 17 tahun, hanya baik-baik sahaja yang saya doa walau apa pun keputusan yang dibuat dalam hidupnya ,” jelasnya berhati-hati.
Paling penting kata Sherry, dia masih sahabat Nad Zainal dan menyayangi isteri kepada pelakon Ungku Ismail itu tidak ubah seperti adik sendiri.
Sebelum ini Nad Zainal terpalit dakwaan berlagak apabila tidak senyum atau membalas sapaan peminat sewaktu menjayakan sebuah program festival jualan. Kini dakwaan sama dilemparkan kepadanya, namun lebih terarah kepada sombong dengan rakan selebriti selepas berkahwin dengan Ungku Ismail – KOSMO! ONLINE