NEW YORK – Permintaan yang merudum menyaksikan syarikat-syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) menamatkan tahun 2020 dengan bilangan kakitangan paling sedikit sejak sekurang-kurangnya 1987, kata sebuah pertubuhan industri penerbangan semalam.
Bilangan tersebut berkurang 90,000 orang berbanding sebelum musim pandemik Covid-19.
Syarikat-syarikat penerbangan AS menyatakan, jumlah jawatan sepenuh masa akan menurun kepada 370,000 akhir Disember ini berbanding 460,000 jawatan tetap pada Mac lalu iaitu penurunan hampir 20 peratus.
Ketika kes koronavirus meletus dan menghampiri kemuncak, pihak-pihak berkuasa di dunia telah memperketatkan sekatan perjalanan.
Bilangan penumpang yang dibawa di AS sejak beberapa minggu lalu kekal 65 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, kata organisasi itu.
Syarikat-syarikat penerbangan pada mulanya mengurangkan bilangan kakitangan melalui persaraan awal dan pemberhentian sukarela.
Syarikat-syarikat berkenaan juga bersetuju menangguhkan pemberhentian seterusnya sehingga 30 September lalu sebagai pertukaran kepada bantuan kerajaan AS berjumlah AS$25 bilion (RM103.3 bilion).
Bagaimanapun, wakil-wakil rakyat Parti Demokrat dan Republikan menolak pakej rangsangan tersebut.
Kegagalan itu memaksa syarikat penerbangan United Airlines dan American Airlines memberhentikan 32,000 pekerja pada Oktober lalu.
Sebagai tambahan, empat syarikat penerbangan lebih kecil di AS terpaksa gulung tikar, kata organisasi itu lagi, manakala satu perempat pesawat komersial di negara itu tidak beroperasi sejak sekurang-kurangnya 30 hari lalu. – AFP