fbpx

Pemilik premis ditahan seleweng minyak diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH lori tangki disita dipercayai terlibat aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsisi dalam serbuan oleh KPDN Negeri Sembilan di Bandar Ekar, Rantau di sini semalam.

SEREMBAN – Seorang pemilik premis yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel ditahan di Bandar Ekar, Rantau di sini petang semalam dengan rampasan sebanyak 5,640 liter minyak itu dianggarkan bernilai RM11,739.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan Ops Tiris di premis berkenaan dijalankan pasukan penguatkuasa pada pukul 6.15 petang hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang merupakan pemilik premis tersebut ditahan kerana disyaki berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Turut disita dalam serbuan itu, sebuah lori tangki yang menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM26,739,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Zahir berkata, premis tersebut disyaki dijadikan tempat pemindahan minyak diesel di mana lori-lori yang menjadi ‘transporter’ minyak diesel akan datang ke situ untuk memindahkan minyak diesel ke dalam lori tangki yang menunggu di premis tersebut bagi tujuan penyelewengan.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas premis semasa serbuan mendapati, aktiviti pemindahan minyak diesel disyaki telah selesai dijalankan dan terdapat sebuah lori tangki berisi minyak diesel di lokasi.

“Satu kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut,” katanya.

Jelas Muhamnad Zahir, KPDN Negeri Sembilan akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang- undang di bawah KPDN.

“Ini khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel bagi memastikan aktiviti haram yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

“KPDN Negeri Sembilan ingin memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual agar mematuhi perundangan yang berkuatkuasa dan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI