PETALING JAYA – Yayasan RYTHM telah berjaya membangunkankan ‘Sekulah Bateq’di Kampung Kuala Atok, Jerantut, Pahang sebagai usaha untuk memberi manfaat pendidikan asas kepada lebih 40 kanak-kanak Orang Asli etnik Bateq di kampung tersebut.
Program yang telah bermula sejak setahun lalu turut mendapat bantuan daripada guru Sekolah Kebangsaan (SK) Merting di daerah tersebut.
Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy berkata, ini adalah inisiatif pihaknya untuk membantu kanak-kanak di kampung berkenaan kerana hanya melalui pendidikan, boleh mengubah landskap pembangunan ekonomi dan pendidikan Orang Asli di situ kepada kehidupan yang lebih baik pada masa depan.
“Kami telah berganding bahu dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pejabat Pendidikan Daerah, pihak sekolah dan agensi berkaitan dengan mewujudkan kelas khas di sini yang menempatkan lebih 50 pelajar.
“Kami berusaha membantu menambah pengetahuan asas membaca dan berkomunikasi selain itu pada hujung minggu beberapa guru dari sekolah yang sama dibawa masuk ke kampung untuk mengajar kelas tambahan kepada pelajar di sebuah wakaf (sekulah bateq) yang didirikan di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena Program Transformasi Minda Insan Sub Aktiviti Program Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah Diri Daerah Jerantut yang berlangsung di SK Merting baru-baru ini.
Program anjuran Jakoa itu membuka peluang kepada penduduk kampung Kuala Atok dan Kampung Sungai Tekal di situ untuk menerima gantian kad pengenalan, pendaftaran lewat kelahran, sijil kelahiran dan MyKad baharu.
Sepanjang dua hari program tersebut berlangsung, sebanyak 208 permohonan untuk sijil beranak dan kad pengenalan Orang Asli telah berjaya diproses oleh Jabatan Pendaftaran Negara Pahang.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jakoa Pahang, Ahmad Marzuki Salleh berkata, program tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada komuniti Orang Asli di daerah tersebut untuk memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan bagi melayakkan mereka menerima pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
“Program selama dua hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Orang Asli kerana JPN menerima sebanyak 208 permohonan yang melepasi sasaran 80 permohonan di peringkat awalnya.
“Sasaran permohonan di kalangan penduduk Kampung Kuala Atok dan Kampung Sungai Tekal bagaimanapun ia turut mendapat sambutan dalam kalangan penduduk kampung berhampiran dan situasi ini perkembangan yang baik kerana kebanyakan anak-anak mereka juga telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.
“ Kesanggupan mereka hadir membuktikan kesedaran memiliki dokumen pengenalan diri telah meningkat dan mengakui kepentingan memiliki dokumen berkaitan membantu proses menyalurkan bantuan, memohon lesen motosikal, keluar bekerja dan sebagainya,” katanya. -KOSMO!ONLINE