fbpx

PN kuasai enam negeri jika 90 peratus pengundi Melayu keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

LANGKAWI – Perikatan Nasional (PN) didakwa mampu menguasai keenam-enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sekiranya 90 peratus pengundi Melayu keluar mengundi pada Sabtu ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan rekod pada pilihan raya sebelum ini, peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi acap kali dicatatkan rendah

“Menerusi pengamatan kita dan rekod yang ada mendapati kira-kira 30 peratus pengundi Melayu tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Angka 30 peratus itu adalah jumlah undi yang besar dan ia boleh menentukan parti mana yang akan menubuhkan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Sembang Santai di Pangkalan Nelayan Kuala Chenang di sini hari ini.

Kelantan dan Terengganu dimenangi PN pada PRU14, sebelum Kedah dikuasai gabungan itu sejak Mei 2020 setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

PH pula mendominasi Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang turut terlibat dalam PRN kali ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, PN juga boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas PRU15 sekiranya jumlah pengundi di setiap kawasan Parlimen tinggi ketika itu.

“Kalau jumlah yang keluar mengundi semua kawasan ramai pada PRU15 lalu, kita yakin PN sudah boleh tubuh kerajaan pusat,” katanya.

Tambahnya, pilihan raya adalah teras kepada amalan demokrasi dalam negara untuk memilih pemimpin dan kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI