BATU GAJAH – Dana Kreatif Perak@Port dimanfaatkan sebuah kumpulan muzik tempatan, Raksar apabila dana itu digunakan mereka untuk menghasilkan album kedua yang dijangka menemui peminatnya seawal hujung tahun ini.
Raksar dianggotai oleh Azzim sebagai penyanyi dan pemain gitar, Muhammad Afiq Dzulkarnain (Apek) juga sebagai gitaris, penyanyi yang juga pemain bass, Muhammad Shahfari Abdul Nasir (E) dan Mohammad Asnawi Johari (Awie Joe) selaku pemain drum.
Mengulas lanjut, Azzim berkata, pihaknya mengetahui mengenai Dana Kreatif Perak@Port apabila dijemput pihak berkenaan untuk mengadakan persembahan di Ipoh Music Symposium 2022.
“Selain itu, rakan-rakan dari band lain juga ramai yang memohon dana tersebut, jadi ia membantu menyakinkan kami untuk turut sama membuat permohonan terhadapnya.
“Pada masa sama, kami sememangnya memerlukan suntikan dana untuk membantu proses penghasilan album kedua di studio rakaman.
“Ini kerana biarpun proses merakan lagu telah dimulakan, ia menelan belanja yang banyak untuk menyudahkan kerja-kerja tersebut,” katanya.
Pengurus Raksar, Muhammad Zariq Muhaimin Omar memaklumkan, setiap lagu yang mahu dihasilkan menelan belanja secara purata kira-kira RM600, tidak termasuk sekiranya ia perlu dirakam semula bagi memastikan ia benar-benar berkualiti sebelum dilancarkan.
“Kami juga menggunakan dana diperoleh itu untuk penghasilan muzik video. Bukan itu sahaja, ia (dana) juga digunakan untuk cetakan album fizikal bagi tujuan jualan.