SEREMBAN – Pertuduhan ke atas seorang lelaki berhubung kesalahan menghendap di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini diharap membuka mata semua pihak untuk tidak sewenang-wenangnya melakukan tindakan tidak bermoral itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya lega apabila kesalahan menghendap yang diperjuangkan dalam tempoh yang panjang telah dapat dilaksanakan pertuduhannya.
Menurutnya, kebanyakkan mangsa melibatkan golongan wanita dan kejayaan pertuduhan kali pertama itu dapat memberi galakkan kepada mangsa termasuk lelaki untuk melaporkan kepada pihak berkuasa dan seterusnya diambil tindakan.
“Kes pertama dikemukakan di mahkamah boleh dilihat sebagai “eye opener” kerana mereka yang mempunyai amalan mirip mengintip (menghendap) tak dapat dilakukan kerana sudah ada undang-undang,” katanya kepada pemberita sempena Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual di Casa Lagenda Convention Centre, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nancy berkata, tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Disember tahun ini. – KOSMO! ONLINE