KEJAYAAN menewaskan Korea Selatan 1-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India malam kelmarin melonjakkan skuad hoki negara ke ranking kesembilan dunia.
Kini, Speedy Tigers berpeluang mengukuhkan kedudukan itu jika sekali lagi menumbangkan Korea Selatan yang jatuh ke tangga ke-10 dunia pada aksi separuh akhir ACT di Stadium Mayor Radhakrishan malam ini.
Kemenangan akan membolehkan skuad negara beraksi di pentas final menentang India atau Jepun pada Sabtu ini, sekali gus memberi petanda positif terhadap peluang di Sukan Asia Hangzhou, China bulan depan.
Ketua jurulatih skuad negara, A. Arul Selvaraj gembira dengan prestasi semasa anak-anak buahnya terutama kejayaan meledak lapan jaringan padang daripada semua lima perlawanan setakat ini.
“Satu persembahan yang bagus apabila kami berjaya kuasai lebih 55 peratus penguasaan padang. Pergerakan bola yang bagus dan kedudukan formasi ketika menyerang lebih meyakinkan.
“Walaupun menang tetapi kebanyakkan jaringan terhasil daripada gol padang dan ia sesuatu yang menggembirakan pasukan. Malah, kami juga mencipta banyak pukulan sudut penalti.
“Kami akan berjumpa Korea sekali lagi di separuh akhir. Kami perlu keluar bermain seperti semalam (kelmarin) dan tingkatkan lagi circle penetratrion untuk dapatkan lebih banyak pukulan sudut penalti,” katanya.
Speedy Tigers akan meraih semangat dan keyakinan tambahan jika menang kali kedua ke atas Korea Selatan malam ini selepas tewas dua kali kepada lawan itu sewaktu Piala Negara-Negara FIH di Afrika Selatan tahun lalu.