PETALING JAYA – Golongan pengundi luar terutama dalam kalangan anak muda yang berada di perantauan nekad untuk pulang membuang undi esok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan kestabilan politik dan perubahan dari segi pentadbiran dan ekonomi.
Seorang pekerja swasta, Adi Hidawi Abaidullah, 28, yang sedang bekerja di Pulau Pinang sanggup memohon cuti tahunan semata-mata untuk pulang mengundi di kampungnya di Kedah.
Katanya, dia bukanlah seorang yang taksub atau fanatik dengan politik, namun ingin melihat wujudnya perubahan dari segi pentadbiran dan ekonomi di negeri kelahirannya itu.
“Dari segi pemilihan calon pula, saya akan mengundi calon yang jelas dapat membawa perubahan, arif dalam politik, cakna mengenai isu semasa dan pandai menambat hati rakyat,” katanya.
Seorang lagi pengundi, Asyraf Mad Diah, 28, yang akan mengundi di Tanah Merah, Kelantan pula berkata, dia akan mengelak untuk mengundi calon yang banyak terpalit kontroversi, sebaliknya memilih individu yang berfikiran matang dan dekat di hati rakyat.
Katanya yang kini bekerja dan menetap di ibu negara, tempoh lima tahun tidak sekejap, jadi dia mahu berhati-hati dalam memilih wakil rakyat.
“Saya juga teruja untuk membuang undi bagi membantu keluarga di kampung. Diharap semua pengundi lain juga buat pilihan bijak kali ini,” ujarnya.
Pengundi muda, Safwan Suhardy, 25, pula berkata, dia sentiasa mengikuti perkembangan semasa calon yang bertanding di tempat dia membuang undi iaitu di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.
“Saya sangat suka ambil tahu mengenai calon yang bertanding di Dun tempat saya bakal mengundi. Saya follow media sosial mereka dan baca manifesto sekiranya ada supaya boleh buat pilihan bijak.
“Sudah tentu saya akan undi calon yang berpotensi dapat memajukan kawasan itu.
“Saya lihat, sudah banyak berubahan yang berlaku di sana, jadi saya ingin pastikan kemajuan dan penambahbaikan dari segi infrastruktur dan ekonomi itu terus diusahakan,” katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.