fbpx

PRN: Ramasamy keluar DAP, tidak puas hati dengan ‘maharaja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramasamy (dua dari kanan) ketika sidang akhbar pengumuman keluar DAP di Perai, hari ini.

SEBERANG PERAI – Berbaki kurang 48 jam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Prof. P. Ramasamy, 74, akhirnya mengumumkan keluar daripada DAP dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu secara rasmi hari ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu sudahpun menyerahkan surat untuk keluar sebagai ahli DAP kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada 8.24 pagi dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow jam 8.25 pagi.

Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, individu yang terkenal dengan gelaran `maharaja’ itu menjadi punca kepada krisis yang sedang berlaku di dalam DAP Pulau Pinang ketika ini.

Menurutnya, kepimpinan parti itu di peringkat Kebangsaan juga dilihat bergantung kepada individu yang digelar `maharaja’ berkenaan.

“Saya boleh faham mengapa pemimpin kanan digugurkan tetapi bukannya calon-calon muda digugurkan, mengapa digugurkan mereka yang masih muda, calon seperti Yeoh Son Hin, Soon Lip Chee dan M.Satees, tiada sebab menggugurkan mereka,

“Ini bukannya proses peremajaan atau pemulihan parti tetapi penyingkiran politik untuk mengenepikan mereka yang dilihat atau dibayangkan sebagai penyokong kepada penyandang Ketua Menteri iaitu Chow Kon Yeow.

“Tindakan penyingkiran yang serong ini telah disokong para pemimpin diperingkat nasional dan individu yang terkenal dengan gelaran maharaja’ adalah punca kepada krisis yang sedang berlaku di DAP Pulau Pinang.” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini. Untuk rekod, penyertaan Ramasamy dalam parti DAP adalah selama 15 tahun,

Terdahulu, turut mengumumkan keluar DAP bersama beliau ialah Timbalan Pengerusi DAP Pahang yang juga bekas ADUN Sabai, A. D.R. Kamache, Naib Pengerusi DAPSY Kebangsaan, Jason Raj dan Penolong Setiausaha DAP Cawangan Taman Inderawasih, K. Krishnasamy.

Dalam pada itu, ditanya berhubung kesan terhadap DAP ekoran tindakannya keluar parti ketika PRN hanya berbaki dua hari lagi, Ramasamy berkata, beliau menyerahkan keputusan tersebut kepada pengundi.

Bagaimanapun, beliau mengakui pengundi khususnya masyarakat India sangat marah dengan penggugurannya sebagai calon PRN kali ini memandangkan mereka melihatnya sebagai jaguh kaum itu khususnya membela nasib golongan miskin. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI