fbpx

Kesusahan bapa dorong Nur Izzaty jadi usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR IZZATY (kanan) merupakan pengasas produk Noufa Beauty Skincare.

BUKAN senang untuk senang. Itu antara kata-kata yang masih dipegang erat oleh wanita cantik itu sebagai salah satu prinsip hidupnya.

Menurut Nur Izzaty Salimun, sebelum bergelar pengasas produk, dia tidak pernah malu dengan apa yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Beritahunya, dia pernah membantu bapanya menjual jagung rebus di pasar malam selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa tahun lalu.

Katanya, hasil keuntungan berniaga ketika itu adalah sekitar RM15 setiap malam.

Lebih malang, ada kalanya gerai jagung milik mereka gelap-gelita kerana lampu kedai gagal berfungsi.

“Saya berasal dari kampung dan keluarga saya bukannya orang senang. Ayah merupakan bapa tunggal yang menyara hidup kami dengan menjual jagung sahaja.

“Sering kali saya menemani ayah di pasar malam. Pernah saya lihat ayah berniaga dalam keadaan gelap-gelita.

“Pada masa itu saya tak mampu bantu kerana saya tidak pandai.

“Sedih rasanya apabila tidak mampu berbuat apa-apa untuk meringankan beban ayah,” katanya berkongsi rasa kepada Aura.

Jelas wanita berusia 26 tahun itu, disebabkan sering mengikut bapanya berniaga, minat dalam bidang usahawan tertanam dalam diri Nur Izzaty sehingga berjaya seperti hari ini.

“Saya minat berniaga sejak dahulu lagi terutamanya ketika menuntut di universiti. Pantang ada masa terluang saya akan lakukan kerja berkaitan sale.

NUR IZZATY berjaya memiliki kulit wajah mulus selepas menggunakan produk kecantikan diasaskannya.

“Lagipun, saya bukanlah daripada keluarga senang. Jadi, saya perlu berdikari untuk mengumpul duit. Apa yang penting, saya tidak akan biarkan cuti saya berlalu begitu sahaja.

“Saya bermula dengan melakukan ‘dropship’ yang menawarkan keuntungan antara RM1 sehingga RM2 bagi setiap barang.

“Pendapatan yang saya perolehi pula antara RM1,000 sehingga RM2,000 sebulan hasil ‘dropship’ barang,” katanya.

Nur Izzaty memaklumkan, selepas sedar potensinya dalam bidang perniagaan, dia membuat keputusan berhenti belajar ketika sedang menuntut di universiti.

“Saya memulakan perniagaan Noufa Beauty Skincare sebab saya sendiri menggunakannya. Selepas guna, saya merasakan banyak perubahan berlaku pada kulit saya yang bermasalah.

“Jadi, saya realisasikan minat dalam perniagaan dengan niat membantu pelanggan menyelesaikan masalah kulit yang mereka hadapi.

“Saya tahu betapa tertekannya mereka apabila mempunyai masalah kulit yang teruk kerana saya pernah merasakan pengalaman sama,” ujarnya.

Selepas beberapa tahun, perniagaannya semakin berkembang sehingga mampu menggajikan pekerja dan membina syarikat.

Bagaimanapun, dia merasakan ilmu perniagaannya belum lengkap dan memerlukan bimbingan daripada guru berpengalaman untuk memastikan segala cabaran dapat ditempuhi.

“Kita perlu fikir kebajikan kakitangan, urus keperluan syarikat dan pelbagai perkara lain lagi. Masa inilah saya stuck dalam perniagaan.

“Jadi, saya mula menyertai beberapa bengkel dan seminar bagi memantapkan diri dengan ilmu perniagaan,” katanya.

Selepas beberapa tahun, perniagaan yang diasaskan mula stabil dan mampu diuruskan dengan lebih baik.

Hasil kejayaan yang dicapai pada usia muda, Nur Izzaty berharap dia mampu membantu individu lain terutama mereka yang mahu menceburi perniagaan.

“Perlu diingat, kita tidak akan pandai sendiri tanpa belajar. Tuntut ilmu daripada mereka yang telah terbukti mencapai kejayaan.

“Semua bidang dalam dunia ini ada cabarannya. Jadi, jangan terlalu fokus pada masalah. Sebaiknya, beri tumpuan kepada penyelesaian masalah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI