SHAH ALAM – Prosiding lafaz cerai pasangan selebriti Diana Danielle dan Farid Kamil bakal dilakukan secara dalam talian iaitu menerusi aplikasi Zoom dalam dewan bicara Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini, hari ini.
Perkara tersebut disahkan oleh peguam syarie mewakili Farid iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan yang memberitahu pihaknya sudah memohon kebenaran daripada pihak mahkamah untuk melakukan prosiding dan dan lafaz cerai menerusi Zoom.
Prosiding secara dalam talian tersebut dilakukan susulan ketidakhadiran Farid di mahkamah hari ini disebabkan masalah kesihatan.
“Untuk pendengaran secara zoom, kena dapatkan permohonan daripada pihak mahkamah terlebih dahulu.
“Sebab melalui proses biasa, mahkamah benarkan kita mendapat perbicaraan secara zoom, pihak kami akan sediakan proses pendengaran secara panggilan video untuk dijalankan.
“Ya, kami mohon kebenaran mahkamah untuk lafaz talak dilakukan oleh Farid secara zoom. Bukan secara fizikal tetapi melalui panggilan video,” katanya hari ini.
Jelas Fakhrul, Farid mengalami masalah kesihatan disebabkan pasca jangkitan Covid-19 yang dialaminya pada bulan.
“Anak guam saya tidak sapat hadir sebab masalah kesihatan dan difahamkan, perkara itu merupakan kesan pasca jangkitan Covid-19.
“Kami sudah bincang dengan Farid beberapa kali tentang oerkara ini dan ini jalan terbaik untuk hari ini,” jelasnya.
Isnin lalu, peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader memberi bayangan kemelut rumah tangga pasangan selebriti berkenaan dijangka menemui titik noktah hari ini dan semua kes berkaitan perceraian bakal diselesaikan secara menyeluruh.
Terdahulu, pergolakan rumah tangga pasangan terbabit mula tercetus selepas Diana memfailkan cerai pada 10 Mac di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Dalam pemohonan cerai itu, Diana sebelum ini, mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai pelakon Diana dalam suaminya.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora kini berusia lapan tahun. – KOSMO! ONLINE