PETALING JAYA – Kira-kira 1.9 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan mulai esok sehingga Sabtu ini sempena hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, susulan itu, pengguna akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman atau menuju ke lokasi mengundi masing-masing supaya membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk pulang serta kembali semula ke ibu kota semasa tempoh tersebut.
“PLUS juga telah membuat pelbagai persediaan merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.
“PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di kawasan R&R serta hentian sebelah beroperasi 24-jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PLUS juga menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 11 Ogos sehingga 13 Ogos depan.
“Kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja- kerja pembaikan yang kritikal,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE.