ISKANDAR PUTERI – Malaysia menerima pelaburan terkumpul sebanyak RM76 bilion dalam pembangunan pusat data di seluruh negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu membabitkan pelaburan dibuat sejak 2021 hingga Mac lalu.
Menurut beliau, kemasukan pelaburan itu selari dengan hasrat kerajaan menjadikan negara ini sebagai hab pusat data di rantau Asia.
“Sekarang sudah banyak (pelaburan melibatkan pusat data), kita lihat pada pertumbuhan, memang besarlah. Sasaran kita adalah menjadi hab pusat data bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, tetapi di Asia.
“Antara faktor yang mendorong pelaburan pusat data di negara ini termasuk dasar kerajaan dan galakan mengenai tenaga boleh diperbaharui (RE), tanah serta ekosistem ekonomi digital sedia ada,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kampus Pusat Data GDS NTP di Taman Teknologi Nusajaya, di sini hari ini.
Tambah Tengku Zafrul, komitmen diberikan pemain industri berkaitan menerusi perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) antara TNB dan empat pemain pusat data utama melibatkan bekalan tenaga elektrik dengan kapasiti 1,500 megawatt (MW).
Sementara itu, dalam ucapannya, Tengku Zafrul memberitahu, sektor ekonomi digital kekal sebagai penyumbang utama kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara iaitu RM348 bilion bagi 2021, kira-kira 23.2 peratus.
“Sektor ekonomi digital dijangka terus meningkat menjelang 2025 dengan anggaran pelaburan sebanyak RM382 bilion atau 25.5 peratus GDP tahun berkenaan.
“Bagi pelaburan pusat data pula, kita jangka peningkatan pelaburan sebanyak 16 peratus sejak 2021 hingga 2026 dengan nilai RM9.36 bilion,” jelasnya lanjut.-KOSMO! ONLINE.