KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman bahawa Kelantan dianaktiri kerajaan Persekutuan adalah tidak tepat berikutan negeri terbabit menerima peruntukan lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mohd. Syahir sepatutnya bertanya bagaimana Pas menguruskan permasalah yang ada di negeri tersebut.
“(Kelantan dianaktiri kerajaan Persekutuan) adalah pandangan yang tidak mengikut fakta. Saya sudah beritahu peruntukan untuk negeri Kelantan adalah paling tinggi berbanding diberi oleh Perikatan Nasional (PN) semasa menjadi kerajaan.
“Kerajaan Persekutuan bantu dari segi tebatan banjir, air bersih dan pembangunan negeri. Sepatutnya dia (Syahir) tanya bagaimana pengurusan negeri Kelantan?” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik, di Hotel Hilton, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sebagai pemimpin muda, Mohd. Shahir perlu berani menyelesaikan masalah dalaman di samping memberi cadangan.
“Semasa dalam kerajaan, semua cadangan penting kerajaan Kelantan saya telah terima tetapi mereka sibuk soal lain.
“Sedangkan peruntukan pada Kelantan sebelum ini adalah lebih kurang daripada yang diberi kerajaan sekarang. Jadi, dimanakah yang dikatakan Kelantan dianaktirikan?” ujarnya.
Semalam, Mohd. Shahir mendakwa Kelantan menjadi negeri miskin kerana dianaktiri oleh Kerajaan Persekutuan pada Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Hujah Mohd. Shahir, ia disebabkan isu ‘federalisme’ menyaksikan beberapa hak Kelantan dinafikan termasuk royalti disebabkan perbezaan pentadbiran antara kerajaan Persekutuan dan negeri. – KOSMO! ONLINE.