fbpx

Rasa ‘terkhianati’ tonton Meg 2: The Trench

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Meg 2: The Trench mula ditayangkan di pawagan seluruh Malaysia 4 Ogos lalu.

SEBELUM menjejakkan kaki ke panggung GSC Starling bagi menyaksikan filem Meg 2: The Trench, perasaan penulis membuak-buak tidak sabar untuk mengetahui kesinambungan The Meg yang diluncurkan pada 2018. 

Karya yang pertama mendapat reaksi positif daripada audiens namun skrip sama tidak berulang menerusi sekualnya kali ini.

Bukan sengaja untuk mengkritik membuta tuli filem kali ini, namun sebagai peminat filem bertemakan sains fiksyen yang ‘menjual’ kehebatan makhluk bernama Megalodon itu, percaturan Meg 2 sedikit tersasar entah ke mana-mana. 

Pertama sekali, dari segi naratif atau jalan cerita, filem arahan sutradara Ben Wheatley itu kurang kemenjadiannya berbanding sekuel terdahulu. 

Jason Statham kembali melunaskan peranan sebagai Jonas dalam Meg 2: The Trench.

Dari awal cerita sehingga ke minit akhir filem, tidak banyak yang berbekas dalam fikiran, sekali gus membuatkan penulis berfikir, apa masalah filem kali ini sehinggakan begitu banyak momen tidak ‘melekat’ yang dipaparkan dalam layar skrin. 

Naskhah yang sepatutnya mengangkat adrenalin penonton menyaksikan kekuasaan jerung gergasi atau Megalodon terkulai layu dengan bermacam kelemahan plot yang maaf cakap, tidak diadun sekemas-kemasnya. 

Paling kurang pun audiens mengharapkan tahap filem pertama disetarakan untuk sekuel kali ini. Namun malangnya, itu tidak berlaku.

Meg 2: The Trench yang dinanti-nantikan ramai kurang kemenjadiannya kali ini namun masih berbaloi menjadi pilihan tontonan di pawagam.

Meg 2 sepatutnya membawa penonton ke dunia prasejarah dengan kehadiran makhluk-makhluk yang sudah pupus, namun selepas tontonan, ramai yang menggelengkan kepala. 

Durasi filem 116 minit dengan bajet pembikinan melebihi AS$130 juta dibazirkan untuk sebuah penceritaan yang terlalu menumpukan tentang sabotaj atau pergolakan korporat. 

Mengapa kemunculan Megalodon dan makhluk-makhluk prasejarah ditonjolkan terlalu minimal dalam Meg 2? Apa yang difikirkan sutradara Wheatley ketika duduk di bangku pengarah filem? Itu antara persoalan yang tercetus selepas menghabiskan tontotan. 

Shuya Sophia Cai sebagai Meiying Zhang merupakan antara nadi utama Meg 2: The Trench.

Kecewa? Memang. Berdasarkan trailer, Meg 2 seperti menjanjikan pengalaman mengujakan, namun sayang seribu kali sayang, semua itu hanya pancingan untuk menarik audiens.

Teraju utama, Jason Statham dirasakan seperti jasadnya sahaja berada dalam filem, namun emosi sebagai Jonas Taylor melayang entah ke lautan dalam mana. 

Mana One tidak lagi menjadi satu lokasi yang menarik disebabkan naratif atau plot yang menyeleweng kepada ketamakan dunia korporat. 

Watak yang menonjol barangkali terjemahan pelakon lelaki kulit hitam Page Kennedy sebagai benama DJ di Mana One. 

Lelucon yang dilontarkan melalui tindak-tanduk dan dialognya memecahkan hening ‘tak menjadi’ kebanyakan tempoh filem berjalan. 

Faktor lain membuatkan Meg 2 kurang menyerlah adalah teknik janaan komputer (CGI) yang separuh masak, ‘berlumut’ dan itu  sekali gus membuatkan audiens rasa seperti dikhianati kerana  filem berjalan indah khabar daripada rupa.

Apapun, itu pendapat berbaur picisan dan terpulang kepada penonton untuk menilai sendiri Meg 2: The Trench di pawagam berdekatan. 

Filem: Meg 2: The Trench
Pengarah: Ben Wheatley
Pelakon: Jason Statham, Wu Jing, Sophia Cai, Page Kennedy
Sumber: Warner Bros. Pictures
Tayangan: 4 Ogos 2023
Bintang: 2⁄5
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI