SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diberikan tempoh 48 jam membayar ganti rugi RM10 juta atas tindakan memfitnah dan mengeluarkan berita palsu berhubung kenyataan fitnah berkaitan Projek Gerbang Maritim Selangor (MSG).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin berkata, ini kerana ucapan dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) tersebut pada 2 Ogos lalu telah menjejaskan institusi Datuk Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor.
Katanya, satu surat tuntutan telah disampaikan menerusi peguam beliau kepada Muhammad Sanusi pada pukul 7:36 malam tadi.
“Sanusi telah memfitnah antara lain, bahawa saya memberikan tanah negeri secara percuma kepada syarikat swasta.
“Dalam surat yang disampaikan itu, saya telah menuntut supaya Sanusi dalam tempoh 48 jam itu menarik balik dan minta maaf kenyataan fitnah itu, menjamin bahawa fitnah tersebut tidak diulang serta membayar ganti rugi RM10 juta atas tindakan memfitnah dan mengeluarkan berita palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, beliau terpaksa meneruskan dengan tindakan undang-undang menerusi proses mahkamah sekiranya Muhammad Sanusi gagal berbuat demikian.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah apabila mendakwa Vincent Tan iaitu kroni kepada Amirudin telah memperoleh tanah seluas 600 ekar atau 243 hektar secara percuma.
Ia termasuk tuduhan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor bakal mengalami kerugian mencecah RM180 juta jika Vincent Tan diberikan projek sungai bernilai RM10 bilion. -KOSMO! ONLINE