fbpx

HRPZ II berjaya jalankan prosedur derma organ penderma meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini buat pertama kalinya berjaya menjalankan prosedur pendermaan organ kadaverik iaitu organ dikeluarkan selepas meninggal dunia bagi kedua-dua belah organ buah pinggang.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Abdul Haris Muhammad berkata, ia merupakan prosedur ketiga yang telah dilaksanakan di Kelantan selepas prosedur sama dijalankan pada 2019 dan tahun lalu.

Menurutnya, prosedur perolehan organ buah pinggang itu dilakukan oleh Pasukan Transplantasi, Unit Urologi, Jabatan Pembedahan, HRPZ II terhadap seorang penderma organ yang disahkan kematian otak.

“Penderma organ itu meninggal dunia selepas menghadapi komplikasi kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan HRPZ II merakamkan ucapan takziah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga penderma atas tindakan mulia dan terpuji itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi maklumat Unit Perkhidmatan Transplan, Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, pendermaan organ kadaverik dijalankan dengan mengeluarkan organ selepas penderma meninggal dunia.

Prosedur itu dilakukan dengan kebenaran ahli keluarga si mati yang memberi keizinan untuk menderma organ.

Seseorang yang meninggal dunia boleh mendermakan buah pinggang, hati, jantung, paru-paru selain tisu seperti kornea (mata), kulit, injap jantung dan tulang.

Mengulas lanjut, Abdul Haris memberitahu, semoga segala usaha keluarga penderma itu dapat dijadikan sebagai teladan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurutnya, setiap pendermaan organ yang dijalankan dapat memberi sinar harapan yang baharu kepada penerima yang memerlukan.

“Pihak HRPZ II juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Unit Perolehan Organ Hospital dan Pasukan Koordinator Pusat Sumber Transplan Nasional yang membantu menjayakan pelaksanaan prosedur tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI